Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi
Ianya adalah ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan
kerana sama-sama mempunyai peranan dan sumbangan
yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains
dan teknologi membawa kemajuan, kemudahan dan
keselesaan, manakala Islam pula memimpin manusia
ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di
dunia dan juga di akhirat.
Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia
terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah
satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat
digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun
Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah
dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun
ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam
untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah
maka Islam sangat menuntut umatnya mencari,
mengembang dan menguasai ilmu pengetahaun.
PENCAPAIAN DAN REALITI
Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa
dahulu, umat Islam adalah umat yang sangat
dihormati kerana ilmu pengetahuan yang mereka
miliki. Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rush, Al
Khawarizmi, Al Biruni adalah di antara tokoh-tokoh
yang tidak asing lagi samada di dunia Timur
ataupun Barat. Penghormatan yang diterima ini
adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains
dan teknologi serta pegangan yang kukuh terhadap
Al Quran dan Hadis.
Sungguhpun umat Islam telah menunjukkan kehebatan
yang tiada tandingnya pada masa lampau, tetapi
kini suasana yang wujud adalah jauh berbeza. Umat
Islam sekarang tidak lagi menguasai bidang sains
dan teknologi, sebaliknya ilmu tersebut telah
berpindah dan dikuasai oleh masyarakat Barat dan
Timur Jauh. Apa yang lebih malang lagi ialah
bilamana umat Islam itu sendiri sudah hilang
identiti Islamnya dan tidak lagi dihormati.
ANUGERAH AKAL
Islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t.
kepada baginda junjungan nabi Muhammad s.a.w.
adalah lengkap dan sempurna serta sesuai dengan
fitrah kejadian manusia. Sementara kejadian
manusia yang serba indah ini pula dihiasi dengan
anugerah akal oleh Allah kepada manusia untuk
berfikir.
Oleh itu peranan akal yang telah dianugerahkan ini
sangatlah besar. Ianya bukan sahaja dapat
digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi
juga untuk "melihat" kebenaran. Dengan sebab
itulah Islam sangat menggalakkan umatnya untuk
menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di
dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri
dengan Allah bertanya kepada manusia seperti,
"Tidakkah kamu menggunakan akal" dan "Tidakkah
kamu memikirkan".
SAINS DAN TEKNOLOGI
Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu
adalah tertakluk kepada peraturan yang telah
ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan
tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi.
Oleh itu ilmu sains dan teknologi yang diterima
oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan disuluh
oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu
tersebut tidak akan bersifat menindas dan
menganiaya makhluk lain.
Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah
terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya
menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka
yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang
terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna
yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan
direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu
pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika
tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah
dan memancarkan cahayanya untuk menyinari
kehidupan umat manusia.
Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam
perlu mengambil manfaat daripadanya dengan
menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh
Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat
empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat
dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman
kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam
sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada
kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.
peranan agama adalah sangat penting dalam
memastikan segala ilmu termasuk sains dan
teknologi tidak disalahgunakan untuk kepentingan
individu ataupun golongan tertentu. Senario dunia
masakini juga seolah-olah menuntut umat Islam
untuk kembali untuk menguasai ilmu sains dan
teknologi sebagai saluran untuk mencapai kemajuan
dan pemodenan.
Gabungan ilmu, iman dan taqwa serta akhlak yang
mulia adalah faktor yang utama untuk memungkinkan
Islam kembali diterima sebagai agama yang
universal dan progresif.
0 comments:
Post a Comment